Wednesday, May 13, 2009

USTAZAH MEMBANTU PENDUDUK MARAN

PTD Maran didakwa laksanakan penguatkuasaan berpilih
Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Maran didakwa tidak adil kerana melakukan penguatkuasaan berpilih atas arahan politik pemimpin tertentu. Perkara itu didedahkan Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang yang juga bekas calon PAS kawasan Dewan Undangan Negeri Luit, Ustazah Azizah Khatib Mat.
Menurut Azizah, Pejabat Tanah Maran kononnya amat prihatin terhadap pencerobohan tanah kerajaan di kampung Hulu Luit, ekoran itu pada 13, 14 dan 15 April lalu pejabat itu telah membuat satu operasi memusnahkan tanaman penduduk yang didakwa mengusahakan tanah kerajaan tanpa kebenaran.
Difahamkan dalam operasi selama tiga hari itu, ribuan pokok kelapa sawit dan getah telah dimusnahkan tanpa sebarang provokasi daripada penduduk.
Penduduk akur dengan tindakan tegas kerajaan walaupun mereka telah membuat permohonan dengan membayar sejumlah wang kepada pejabat berkenaan semasa membuat permohonan setahun lalu.
Azizah menyifatkan ketegasan PTD Maran itu adalah luar biasa kerana sebelum ini pihak berkuasa itu agak lembab menjalankan tugas mempertahankan tanah kerajaan daripada dicerobohi.
Katanya, ribuan ekar tanah di kawasan terbabit telah dicerobohi dengan berbagai tanaman termasuk kelapa sawit, getah dan buah-buahan secara besar-besaran oleh pemimpin politik.
Tinjuan Harakah mendapati, jarak dari kampung Swamill Luit ke lokasi (kebun yang dimusnah PTD) kira-kira 14 kilometer, untuk sampai kelokasi tersebut mestilah melalui tanaman kelapa sawit, getah, kebun limau (yang juga diteroka secara haram) lama sebelum penduduk Luit meneroka tanah yang dimusnahkan PTD itu.
Menurut penduduk, ladang haram berkenaan adalah milik pemimpin politik serta sendiket dari luar yang didalangi pihak tertentu, ladang berkenaan sudah pun mengeluarkan hasil.
Justeru penduduk kesal, para pegawai PTD tidak mengusik langsung ladang (haram) tersebut. Secara sinis penduduk menyifatkan pegawai PTD yang melaksana tugas secara berpilih itu 'rabun' kerana hanya nampak kebun milik penduduk kampung Luit yang diteroka secara kecil-kecilan tetapi tidak nampak penerokaan haram milik taukeh besar yang mereka lalui terlebih dahulu.
"PTD sudah buta kerana tidak nampak kawasan yang diteroka secara besar-besaran oleh pemimpin politik yang luasnya berkali ganda itu," ujar mereka.
Penduduk mendakwa mereka meneroka secara haram itu, adalah suatu usaha untuk menyelamatkan tanah kerajaan daripada terus diteroka sendiket terbabit (bukan Melayu).
"Kami menganggap adalah wajib bagi kami mempertahankan tanah air daripada terus diteroka pihak lain, kami sedar di mana kedudukan kami sebagai anak jati Melayu tetapi malangnya kami terpaksa berhadapan dengan kerajaan yang dipimpin parti Melayu, manakala pihak sendiket terus bermaharaja lela," ujar penduduk yang enggan disiarkan namanya.
Tambah beliau, jumlah keluasan kawasan yang diteroka hanya kira-kira 10 peratus berbanding keluasan kawasan yang diteroka oleh sendiket terbabit.
"Tetapi apa boleh buat, PTD nampak kami salah, penceroboh besar yang teroka lebih luas dia orang tidak nampak kesalahanya, mungkin mereka ada apa-apa," ujarnya.
Difahamkan dalam operasi PTD Isnin lalu, tumpuan hanya diberi kepada kebun milik seorang penduduk manakala kebun milik penduduk lain tidak dimusnah 100 peratus, begitu juga kebun milik kaum Cina hanya ditebang pokok di kiri kanan jalan sahaja dan ini menimbulkan persoalan di kalangan penduduk.
"PTD ini serius ke nak tebang atau ada agenda lain," soal mereka.
Sementara itu, Azizah berharap pihak kerajaan negeri khusunya menteri besar turun Pahang melihat pencerobohan tanah kerajaan secara terancang di Luit.
Azizah mendakwa pemimpin politik (Umno) Maran khususnya Ahli Dewan Undangan (Adun) Luit mengetahui pencerobohan itu tetapi dia gagal bertindak kerana sebab-sebab yang dia sendiri ketahui.
"Adun Luit pasti tahu isu pencerobohan secara besar-besaran tanah kerajaan itu tetapi dia mendiamkan diri atas sebab yang dia sendiri tahu, pihak Badan Pencegah Rasuah patut memulakan tugas di Luit, banyak isu yang perlu dibongkar di sebalik pencerobohan tanah kerajaan itu," ujarnya.

Oleh : Basiron Abdul Wahab Saturday, 19 April 2008 MARAN, 18 April (Hrkh)

No comments: