Wednesday, May 13, 2009

Lebarkan pengaruh dan sahutlah cabaran


TEMERLOH, 21 Mei - Muslimat PAS disaran menyahut cabaran memperkasa parti dengan melebarkan pengaruh melangkaui batasan kaum dan agama dengan penyediaan aktiviti-aktiviti bersesuaian terutama menghadapi kerancakan kemaraan kaum India dalam perjuangan PAS.
Gesaan itu dibuat Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang, Ustazah Azizah Khatib Mat hasil pertemuan dengan wanita India dari Kelab Penyokong PAS pada jemputan menghadiri Mesyuarat Agong PAS Kawasan Temerloh, di Darul Amin, Sungai Gau, dekat sini, baru-baru ini.

Menurut Azizah, adalah menjadi cabaran besar muslimat PAS menyahut satu fenomena politik baru dalam kancah perjuangan PAS yang selama ini agak asing dengan penglibatan kaum lain dalam perjuangan khususnya di kalangan wanita India.
"Memang perubahan ini merupakan cabaran bagi muslimat PAS. Kita akan berusaha menyesuaikan diri dengan perubahan baru dalam perjuangan. Kita amat mengalu-alukan penyertaan wanita India dalam PAS. Saya harap muslimat PAS berjaya menyahut tugasan baru ini," katanya.
Apabila ditanya apakah bentuk program yang bakal diisi muslimat PAS bagi memperkukuhkan hubungan PAS dengan wanita India, Azizah berkata aktiviti kemasyarakatan adalah fokus utamanya.
"Memang kita sedang fikirkan program kemasyarakatan adalah wadah paling sesuai. Tahap yang paling penting pada ketika ini adalah untuk mengukuhkan hubungan. Mungkin kita adakan pendekatan hari terbuka dan hari keluarga dibuat secara bersama. Kita akan usahakan. Saya harap muslimat PAS di kawasan-kawasan terbabit bergerak proaktif," katanya.
Kemaskini terakhir ( Wednesday, 21 May 2008 )

Oleh : Hashim Abdullah Wednesday, 21 May 2008

No comments: